KUALA LUMPUR, 30 Mei — Anggota Kabinet hari ini mengirimkan ucapan Selamat Kaamatan kepada masyarakat Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus di Sabah.
Kaamatan Lambang Perpaduan dan Warisan
Menerusi hantaran di media sosial, mereka menyifatkan Kaamatan bukan sekadar pesta menuai, tetapi simbol perpaduan, warisan budaya dan kebersamaan yang menjadi tunjang keharmonian dalam masyarakat majmuk Malaysia, khususnya di Sabah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Kaamatan adalah warisan budaya berharga rakyat Sabah yang telah lama menjadi sumber kekuatan masyarakat. Beliau berkata tema tahun ini, 'Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian', mencerminkan aspirasi untuk terus memelihara nilai saling menghormati, menghargai kepelbagaian budaya dan mengukuhkan ikatan persaudaraan yang menyatukan pelbagai kaum dan latar belakang.
“Semoga sambutan Kaamatan tahun ini membawa kegembiraan dan semangat baharu untuk kita bersama-sama membina Sabah yang lebih maju, makmur dan harmoni. ‘Kotobian Tadau Tagazo do Kaamatan’,” katanya.
Kaamatan Tarikan Pelancongan
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata Kaamatan adalah simbol kesyukuran atas musim menuai yang diwarisi turun-temurun dan kekal sebagai sebahagian identiti budaya Sabah. Beliau berkata sambutan meriah ini bukan sahaja mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di negeri itu, malah mempamerkan warisan budaya unik Malaysia kepada dunia, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Semoga Pesta Kaamatan tahun ini disambut dengan kegembiraan, kesyukuran dan keharmonian, seterusnya mengukuhkan identiti Malaysia sebagai negara yang kaya dengan budaya, tradisi dan perpaduan,” katanya.
Kelestarian Alam dan Perpaduan
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata Kaamatan bukan sahaja kesinambungan warisan budaya, tetapi juga platform penting untuk mengukuhkan perpaduan, keharmonian dan kesedaran alam sekitar. Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata semangat Kaamatan berkait rapat dengan tanggungjawab bersama dalam memelihara alam sekitar.
“Seperti mana masyarakat tradisional telah lama menghargai tanah dan alam untuk kelangsungan hidup, kita juga perlu komited memelihara warisan semula jadi supaya generasi akan datang terus menikmati manfaatnya. Kelestarian alam adalah tanggungjawab bersama, dan keharmonian antara manusia menjadi lebih bermakna apabila kita juga hidup harmoni dengan persekitaran,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berharap sambutan Kaamatan tahun ini dapat mengukuhkan lagi kasih sayang dalam kalangan rakyat, memperkukuh keamanan, serta membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara dan rakyat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, turut berharap pesta menuai ini membawa kegembiraan, keberkatan dan hubungan yang lebih erat dalam kalangan rakyat. “Bagi yang pulang ke kampung, pandulah dengan selamat dan semoga selamat sampai ke destinasi,” katanya.
Turut mengirimkan ucapan melalui media sosial ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh. — Bernama



