Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa Malaysia berhak menuntut pampasan yang sewajarnya daripada Norway dan syarikat yang terlibat berikutan pembatalan lesen eksport Naval Strike Missile (NSM).
Kerugian kewangan dan peluang
Menurut beliau, tuntutan tersebut adalah wajar memandangkan Malaysia telah mengalami kerugian kewangan, kehilangan masa yang berharga, serta peluang akibat pembatalan itu.
“Sejumlah besar dana awam telah diperuntukkan untuk program ini. Sekiranya Norway memaklumkan lebih awal mengenai pembatalan lesen eksport, dana tersebut boleh dialihkan untuk tujuan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled mengulas artikel New Straits Times bertajuk “Move on from missile deal and find replacement” yang diterbitkan hari ini.
Usaha mencari pengganti
Beliau berkata Malaysia sedang bergerak ke hadapan dan giat mencari penyelesaian alternatif untuk memenuhi keperluan pertahanan negara. Namun, tindakan tanpa akauntabiliti tidak boleh diterima atau dipandang ringan.
Mencari pengganti sistem NSM bukanlah tugas mudah kerana senjata secanggih itu tidak boleh ditukar secara tiba-tiba. Proses ini memerlukan rundingan kontrak baharu dan integrasi sistem baharu ke dalam platform sedia ada, yang memakan masa, kos, dan sumber yang besar.
“Lebih kritikal, episod ini melampaui pertikaian kontrak dua hala. Ia telah meletakkan pertahanan dan keselamatan negara dalam kedudukan yang terdedah.
“Mesej tegas mesti disampaikan kepada Norway dan komuniti pertahanan antarabangsa: tindakan sebegini tidak akan dibiarkan tanpa jawapan atau akauntabiliti,” tegasnya.
Akauntabiliti sebagai pengajaran
Beliau menambah bahawa Norway perlu dipertanggungjawabkan secara bermakna, sebagai pengajaran dan peringatan, bagi memastikan perkara sama tidak berulang, dan bukannya dilepaskan tanpa sebarang akibat.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah kecenderungan yang semakin meningkat untuk komitmen dan kontrak diketepikan berdasarkan pertimbangan politik atau ideologi, sekali gus menjejaskan kepercayaan terhadap perjanjian antarabangsa,” katanya.
Menggambarkan tindakan Norway sebagai tidak wajar dan merosakkan hubungan dua hala, Mohamed Khaled berkata negara kecil dan kuasa sederhana bergantung kepada persekitaran antarabangsa yang stabil dan boleh diramal, di mana setiap komitmen dan kewajipan ditunaikan.
“Jika sesebuah negara atau syarikat boleh menarik diri daripada komitmen tanpa sebarang akauntabiliti, ia mewujudkan preseden berbahaya untuk kerjasama pertahanan, ekonomi, dan strategik pada masa hadapan.
“Oleh itu, pampasan bukan sekadar mendapatkan semula wang yang telah dibelanjakan. Jika Norway benar-benar menghormati prinsip ketertiban antarabangsa berdasarkan peraturan dan menghargai hubungan jangka panjang dengan Malaysia, maka ia harus menyokong proses pampasan yang adil dan munasabah, yang mengambil kira kesan penuh pembatalan ini,” katanya. — Bernama



