Kerajaan sedang membangunkan mekanisme untuk melarang import barangan yang dihasilkan oleh buruh paksa sebagai langkah proaktif memperkukuh pematuhan perdagangan antarabangsa dan memenuhi peraturan rakan dagang. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Ghani berkata bagi mengkaji dan merangka mekanisme berkenaan, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Antara Agensi Mengenai Buruh Paksa (IATFL) yang dipengerusikan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).
Penubuhan Pasukan Petugas Khas
Menurutnya, pasukan petugas itu turut dianggotai Kementerian Kewangan, Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan. “Ia juga melibatkan agensi kerajaan seperti Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kastam, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, polis, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai status terkini pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS). Johari berkata ketika ini Malaysia tidak mempunyai sebarang undang-undang dan mekanisme untuk melarang import barangan yang dihasilkan oleh buruh paksa.
Ancaman Tarif AS
Beliau berkata pelaksanaan mekanisme itu turut mengambil kira perkembangan siasatan AS di bawah Seksyen 301, termasuk petunjuk awal kemungkinan pengenaan tarif indikatif sebanyak 10% ke atas Malaysia selepas 24 Julai ini berhubung isu buruh paksa. Siasatan berkaitan buruh paksa itu kata beliau, hampir dimuktamadkan manakala siasatan mengenai akses pasaran masih diteruskan. “Siasatan mengenai isu buruh paksa hampir tamat dan dia (AS) dah bagi kita indikatif bahawa selepas 24 Julai ini, kemungkinan besar AS akan kenakan kita tarif indikatif 10% untuk isu ini,” katanya.
Pada 2 Jun, 2026, Johari berkata AS mengumumkan penemuan awal siasatan untuk 60 negara yang didakwa gagal menguatkuasakan larangan import ke atas barangan yang dihasilkan oleh buruh paksa. Beliau berkata Malaysia antara 54 negara yang dikenal pasti tidak mempunyai sekatan perundangan khusus terhadap kemasukan barangan itu, manakala enam negara lain mempunyai undang-undang tetapi didapati gagal menguatkuasakannya.



