JOHOR BAHRU, 24 April — Kerajaan sedang memperhalusi langkah-langkah yang lebih ketat untuk mengurangkan penggunaan tenaga negara susulan tekanan daripada krisis bekalan global, termasuk mempertimbangkan untuk menghadkan pergerakan anggota Kabinet dan kementerian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata tindakan segera itu penting bagi memastikan Malaysia tidak terjerumus ke dalam situasi catuan tenaga seperti yang dihadapi oleh beberapa negara lain pada masa ini.
Beliau berkata keputusan muktamad mengenai perkara itu akan dibuat pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan datang.
“Kita mahu elakkan (isu kekurangan bekalan). Jadi kita perlu cari jalan untuk mengurangkan penggunaan tenaga, seperti bekerja dari rumah, serta langkah-langkah lain yang perlu.
“Kita bersyukur setakat ini bekalan minyak masih mencukupi sehingga akhir Jun, tetapi bekalan diesel sudah mula hadapi masalah. Sebab itu beberapa langkah akan diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Permas Jaya di sini hari ini.
Memperincikan, Perdana Menteri berkata MTEN kini bermesyuarat setiap dua hari dengan kementerian dan pihak berkaitan bagi memantau keseluruhan situasi bekalan tenaga.
Beliau menegaskan keadaan semasa tidak lagi membenarkan sebarang kelewatan dalam membuat keputusan.
“Langkah-langkah ini sudah sampai ke tahap kritikal. Kita tidak boleh bertangguh lagi kerana sebarang penangguhan akan menjejaskan ekonomi dan kehidupan harian rakyat sekiranya berlaku kekurangan bekalan,” katanya.
Ditanya sama ada krisis bekalan global akan menjejaskan jadual pilihan raya negeri, Perdana Menteri berkata perkara itu setakat ini belum dibincangkan. — Bernama



