JOHOR BAHRU, 30 Mei — Kerajaan memberi tumpuan untuk memastikan aktiviti ekonomi terus kukuh bagi melindungi pekerjaan rakyat di tengah-tengah krisis bekalan global yang berterusan, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata keutamaan sekarang adalah untuk memastikan bekalan tidak terganggu, terutamanya bekalan minyak negara, bagi menyokong aktiviti ekonomi.
“Tumpuan kerajaan pada masa ini adalah untuk memastikan ekonomi terus bergerak supaya peluang pekerjaan dapat dikekalkan. Dalam dua hingga tiga bulan pertama krisis, salah satu isu utama yang perlu ditangani adalah perkara berkaitan bekalan.
“Itulah sebabnya kerajaan telah mengambil langkah untuk memastikan bekalan minyak negara mencukupi, selaras dengan jaminan bahawa bekalan minyak negara adalah mencukupi sehingga akhir Julai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Korban Perdana Aidiladha bagi kawasan parlimen Johor Bahru di Masjid Jamek Bandar Baru Uda di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan beberapa langkah perlindungan pekerja sempena Hari Pekerja, termasuk peruntukan di bawah Skim Insurans Pekerjaan (SIP) untuk membantu pekerja yang terjejas sekiranya kesan krisis itu dirasai.
Beliau berkata gangguan kepada bekalan tenaga dan input pengeluaran boleh memberi kesan langsung kepada sektor perindustrian, termasuk melambatkan operasi dan menjejaskan pendapatan pekerja.
Kerajaan juga sedang berhubung dengan pemain industri dan mengadakan perbincangan dengan negara luar untuk memastikan rantaian bekalan kekal selamat, tambahnya.
Beliau berkata lawatan Perdana Menteri ke Jepun dalam masa satu hingga dua minggu akan datang juga akan digunakan untuk membincangkan beberapa perkara strategik berkaitan bekalan yang dikenal pasti oleh Kementerian Ekonomi.
Mengenai perkembangan geopolitik di Asia Barat, Akmal Nasrullah berkata ketidakpastian masih wujud walaupun terdapat petunjuk penurunan harga minyak global.
“Ini menunjukkan bahawa perkembangan sepanjang minggu lalu telah memberi kesan positif kepada pergerakan harga minyak. Untuk mengatakan perkara itu sudah selesai, kami masih menunggu perkembangan di Asia Barat. Walaupun penurunan sedikit lagi harga minyak dijangka minggu ini, keadaan masih tidak menentu atau tidak stabil,” katanya. — Bernama



