Apple bakal naikkan harga produk susulan lonjakan harga cip memori AI
San Francisco, 18 Jun — Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple yang bakal bersara, Tim Cook, memberi amaran bahawa permintaan terhadap cip memori daripada ledakan kecerdasan buatan (AI) akan memaksa syarikat teknologi gergasi itu menaikkan harga produknya, menurut temu bual dengan Wall Street Journal yang diterbitkan semalam.
“Malangnya, kenaikan harga tidak dapat dielakkan,” katanya kepada akhbar itu, sambil menambah bahawa syarikatnya telah “berusaha melindungi pelanggan daripada kenaikan” tetapi ia menjadi “tidak mampan.”
Beliau tidak menyatakan masa kenaikan, jumlahnya, atau peranti mana yang akan terjejas. Pelancaran utama Apple seterusnya dijangka pada September, dengan siri iPhone 18.
“Bekalan semakin berkurangan ketika pengguna mahukan peranti dan pengeluar memori mengenakan kenaikan harga yang besar,” kata Cook.
Laporan Wall Street Journal memetik anggaran firma penyelidikan TechInsights, yang mengatakan Apple perlu menaikkan harga model iPhone Pro sebanyak AS$270 (RM1,103) untuk mengekalkan margin keuntungan semasanya.
Pembinaan pusat data AI yang pesat telah melonjakkan kos cip memori dan RAM – kerana komponen ini terdapat dalam hampir semua peranti elektronik – dengan cip mengalami kenaikan harga suku tahunan sekurang-kurangnya 50 peratus sejak akhir 2025.
Cook, yang telah bekerja dalam rantaian bekalan elektronik sepanjang kerjayanya – termasuk di IBM dan Compaq sebelum menyertai Apple – berkata beliau tidak pernah mengalami lonjakan harga seperti ini, menyebutnya sebagai “banjir seratus tahun.” – AFP



