Penganalisis berkata naratif penyatuan ummah dan Melayu yang menjadi daya tarikan PN kepada pengundi kini tercemar.
PETALING JAYA: Tindakan PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu memaparkan ketidakmampuan Perikatan Nasional (PN) untuk tampil meyakinkan menjelang PRU16, sekali gus membuka peluang kepada Umno untuk mengaut undi Melayu yang kecewa dengan kedua-dua parti tersebut.
Afifi Abdul Razak dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, putusnya hubungan PAS-Bersatu menyebabkan naratif penyatuan ummah dan Melayu yang menjadi tarikan PN kepada pengundi kini tercemar. “Walaupun ada hujah bahawa PAS yang lebih fokus dan berdisiplin mungkin tampil lebih kuat secara individu tanpa ‘menanggung beban’ Bersatu, namun sebagai gabungan pembangkang, PN sudah retak dan PRU16 akan mendedahkan sejauh mana keparahan retakan itu.
“Pemecahan ini adalah simptom kepada krisis yang lebih mendalam dalam politik Melayu pasca-PRU15, iaitu ketiadaan blok Melayu-Islam yang benar-benar bersatu, berdisiplin, dan berprinsip sebagai alternatif kepada kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, Bersatu kini berada dalam persimpangan paling berbahaya sejak penubuhannya, sambil menyifatkan Umno sedang pulih secara perlahan, manakala PAS berdiri kukuh atas ideologinya. “Yang paling rugi bukan PAS, bukan PN secara keseluruhannya, tetapi pengundi Melayu yang mendambakan pembangkang yang padu dan stabil. PN kini tidak lagi mampu menampilkan diri sebagai blok kohesif dan meyakinkan menjelang PRU16.”
Malam tadi, PAS bertindak menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, beberapa minggu selepas Presiden Hadi Awang memberi amaran bahawa kesabaran ‘ada batas’.
Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, PAS boleh mengangkat partinya sebagai teras tunggal PN, namun ia akan menjadikan gabungan berkenaan lebih mirip ‘PAS plus’ berbanding gabungan pelbagai parti. “Bersatu yang lemah akan menimbulkan perpecahan terutama di negeri campuran seperti Selangor dan Johor. Tanpa PAS, ia tidak lagi mempunyai ‘oksigen politik’ untuk bertahan,” katanya.
Beliau juga tidak menolak bahawa perpecahan hubungan PAS-Bersatu membuka ruang kepada Umno untuk mengaut semula undi Melayu yang kecewa dengan Bersatu dan skeptikal terhadap PAS.



